Halatuju PAS Sebagai Blok Ketiga Politik Negara – Adakah Politik Cacamerba atau Politik Bijaksana?

Gagasan Sejahtera PAS-IKATAN


“Mereka menggambarkan PAS sebagai mengamalkan politik cacamerba, tidak ada halatuju yang jelas dan sebagainya. Ada yang membuat rumusan bahawa PAS sudah terkena jerat UMNO (melalui IKATAN dan RUU355) dan lantas menjadi tali hayat UMNO menjelang PRU ke-14.
Bacaan politik di atas adalah wajar jika kita menganggap PAS di bawah kepimpinan TGHH adalah tidak bijak dan naif berpolitik. Tetapi bagaimana pula jika sebaliknya? 
Saya ingin melemparkan satu sudut pandang yang berbeza untuk kita berikan pertimbangan, atau mungkin pencerahan – adakah benar TGHH berpolitik cacamerba ataupun TGHH berpolitik yang bijaksana bagi mendapatkan apa yang sebenarnya dimahukan? 
Umum mengetahui TGHH bukan setahun jagung dalam berpolitik. Pengalamannya luas dan beliau sangat arif dengan perangai UMNO dan strategi politik mereka. Resumenya dalam arena politik negara penuh dengan pengalaman dan pendedahan. Maka, menganggap beliau sebagai seorang yang naif dalam berpolitik adalah satu pandangan yang naif juga!”

 

Halatuju PAS Sebagai Blok Ketiga Politik Negara – Adakah Politik Cacamerba atau Politik Bijaksana?

Oleh: Che Ahmad
Kredit: Amir Ibn Omar, Penganalisa Politik Bebas

Mac 2016, PAS secara rasminya mengumumkan kerjasama dengan IKATAN bagi membentuk blok ketiga kuasa politik negara yang dikenali sebagai Gagasan Sejahtera. Di samping IKATAN, ada beberapa lagi parti politik yang dikatakan bakal menyertai gagasan ini, kebanyakannya bertapak di Sabah & Sarawak. Beberapa justifikasi telah diberikan, sama ada oleh TGHH sendiri atau pengikut-pengikutnya (yang mungkin sekadar meneka jantina anak ayam di dalam telur) terhadap keputusan ini. Setelah saya meneliti kenyataan-kenyataan rasmi pemimpin-pemimpin PAS, berikut adalah antara justifikasi yang diutarakan:

1. Berasaskan Amalan Politik Matang & Sejahtera (GPMS) - Memberi penyelesaian bukan sekadar menghentam - Elak Arab Spring
Di Malaysia tiada musim bernama ‘spring’, yang ada hanya musim hujan dan kemarau. Maka jangan ciptakan musim yang tidak ada disini. Tunggu dan beristiqamah bersama Islam, nescaya selamat, adapun tanpa Islamnya menjadi laknat.” (Artikel)
Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang Presiden PAS


2. Menyatukan parti berkecuali yang berkongsi kepentingan
"Mereka mendapat manfaat daripada gabungan bersama blok ini dan pada masa yang sama PAS dan parti-parti lain juga mendapat manfaat daripada penyertaan, walaupun parti kecil, tetapi mereka ada segmen penyokong mereka," (Artikel
Zuhdi Marzuki
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS
3. Mengambil pendekatan Nabi SAW dalam perang Rom-Parsi
“Parti Umno, Dr M dan Muhyiddin, PKR, semuanya nak ajak PAS. Di sini kita tidak di lepas untuk membuat hala tuju sendiri. Kita ada panduan Quran. Teknik, cara boleh berubah. Oleh itu, PAS tubuh blok ke 3. 
Zaman Nabi, ada 2 kuasa besar, Rom dan Parsi. Rom beragama Kristian. Parsi beragama Majusi. Mereka berperang. Akhlak orang Islam ialah bersama dengan Rom kerana mereka dekat dengan Islam. Parsi sembah api, dia jauh.

Bila Rom bertembung dengan Parsi, Nabi tubuh blok ke 3.” (Artikel Penuh
Tuan Guru Hashim Jasin
Mursyidul Am PAS


4. Undi Penentu – PAS menentukan kemenangan BN/PH dalam simple majority



Walaupun justifikasi-justifikasi di atas telah diberikan, ramai yang masih melihat pembentukan blok ketiga ini sebagai satu langkah yang kurang bijak. Mereka menggambarkan PAS sebagai mengamalkan politik cacamerba, tidak ada halatuju yang jelas dan sebagainya. Ada yang membuat rumusan bahawa PAS sudah terkena jerat UMNO (melalui IKATAN dan RUU355) dan lantas menjadi tali hayat UMNO menjelang PRU ke-14.

Bacaan politik di atas adalah wajar jika kita menganggap PAS di bawah kepimpinan TGHH adalah tidak bijak dan naif berpolitik. Tetapi bagaimana pula jika sebaliknya?

Saya ingin melemparkan satu sudut pandang yang berbeza untuk kita berikan pertimbangan, atau mungkin pencerahan – adakah benar TGHH berpolitik cacamerba ataupun TGHH berpolitik yang bijaksana bagi mendapatkan apa yang sebenarnya dimahukan?

Umum mengetahui TGHH bukan setahun jagung dalam berpolitik. Pengalamannya luas dan beliau sangat arif dengan perangai UMNO dan strategi politik mereka. Resumenya dalam arena politik negara penuh dengan pengalaman dan pendedahan. Maka, menganggap beliau sebagai seorang yang naif dalam berpolitik adalah satu pandangan yang naif juga! Timbul persoalan, bagaimana seorang yang boleh mengamanatkan UMNO sebagai kafir dan mengharamkan pengambilan agama yang separuh-separuh kini boleh berpegang tangan dan bergencatan senjata dengan seteru. Apa yang telah berlaku?

Perubahan Ideologi dan Transformasi Amanat Haji Hadi

Pemerhati politik mengatakan telah berlaku perubahan fikrah yang mendadak terhadap TGHH yang telah membawa kepada idea Kerajaan Perpaduan (UG) yang berlandaskan penerimaan terhadap agenda perpaduan kaum Melayu-Islam. Idea UG ini telah beberapa kali digendangkan dalam PAS namun ianya segera dipatahkan dan dibendung oleh Almarhum TGNA sewaktu hidup beliau. Ia adalah satu mazhab siasah islamiyah dalam PAS yang mempunyai asas yang kukuh dan penyokong yang ramai cumanya ia tidak popular dan disepikan semasa era kepimpinan Almarhum TGNA.

Setelah pemergian Almarhum TGNA, yang merupakan satu tembok besar bagi penggerak UG, peluang untuk idea ini dibentangkan semula terbuka dengan luas. Namun ia tidak boleh dibentangkan secara terburu-buru di bawah ‘Gerakan Kerajaan Perpaduan’. Ia dilaksanakan dengan wajah baharu iaitu agenda ‘Gerakan Politik Matang & Sejahtera’ (GPMS). Namanya mungkin berbeza namun ia mempunyai objektif yang sama dengan Kerajaan Perpaduan, iaitulah kelangsungan kuasa Melayu & Islam.

Penerimaan politik Melayu-Islam sebagai tunjang baharu parti adalah satu perubahan besar dalam sejarah PAS sejak kepimpinan Almarhum TGNA yang menolak 100% politik kebangsaan. Di bawah transformasi Amanat Haji Hadi, politik perkauman UMNO boleh diterima selagi mana ia mengekalkan dominasi Islam. Isu rasuah dan kezaliman pula boleh dilazimi dengan dakwah dan pendekatan yang lebih mesra yang tidak menjolok sarang tebuan.

Apa yang sedang berlaku di dalam PAS adalah perubahan ideologi dan dari perubahan ini lahirlah pendekatan politik yang baru (GPMS). Mereka yang tidak sehaluan dengan ideologi baru PAS ini telah dikeluarkan lalu Amanah tertubuh. Kerana itu perkataan ‘pembersihan’ digunakan pada muktamar yang lalu iaitu bagi memastikan mereka yang tinggal di dalam PAS adalah mereka yang menyokong ideologi baru ini. Sebahagian pakar sejarah dan konspirasi PAS menyatakan yang PAS bukan menganut ideologi baru tetapi telah kembali kepada ideologi asalnya (landasan yang betul).
Melalui GPMS, ruh kerajaan perpaduan masih hidup. Ia tidak semestinya membawa maksud kepada perpaduan hakiki, tetapi perpaduan ideologi.

Ideologi-Ideologi Dalam PAS

Perubahan Suasana Politik Negara Pasca Era Mahathir-TGNA

Di era pasca perseteruan Mahathir-TGNA, anjakan ideologi-ideologi dan migrasi pendokong-pendokongnya kini sedang berlaku yang bakal mengubah lanskap politik negara. Idea-idea lama dan baharu kini diketengahkan semula. Dalam suasana politik hari ini, tidak mustahil ideologi Mahathir dengan Islam yang lebih liberal boleh berharmoni DAP, tidak mustahil Awar dan Mahathir boleh berdamai dan tidak mustahil PAS dan UMNO boleh bergencatan senjata.

Fenomena ini turut sama dilalui oleh UMNO selepas era pemerintahan kuku besi Mahathir. Peluang terbuka begitu luas untuk agenda UG direalisasikan semasa pemerintahan Islam Hadhari Pak Lah namun ia dipatahkan oleh Almarhum TGNA dan juga Mahathir yang masih berpengaruh, yang begitu pantang dengan konsep Negara Islam dan Hudud PAS.

Peluang kedua kini bersama Najib yang membawa pendekatan wasatiyyah. Ternyata pendekatan wasatiyyah Najib boleh berharmoni dengan pendekatan GPMS PAS yang turut mementingkan kesederhanaan dalam berpolitik. Kedua-dua pendekatan ini berdiri di atas sentimen Arab Spring. Peluang kedua ini lebih luas terbuka apabila Mahathir hilang pengaruhnya akibat persengketaan dengan Najib.

Perlu juga dipertimbangkan yang Amanat Haji Hadi dahulu diberikan dalam konteks era pemerintahan kuku besi Mahathir dan ketegasan Almarhum TGNA. Ia keras dan tidak berbelah bahagi. Maka, boleh ditafsirkan yang Amanat tersebut tidak ditujukan secara langsung terhadap parti UMNO tetapi pemimpinnya pada ketika itu, kerana tabiat dan sikap UMNO sebagai parti boleh berubah dengan berubahnya kepimpinan. Dalam konteks era Najib, Amanat Haji Hadi mungkin sudah tidak lagi relevan untuk ditujukan kepada UMNO sekarang.

Satu Permainan Politik Menang-Menang

Politik adalah perebutan kuasa dan pengurusan persepsi. Ia mungkin lahir daripada prinsip (yang boleh berubah) tetapi pengakhirannya tetap adalah kuasa. Dalam konteks UMNO & PAS, ia adalah perebutan kuasa demi kelangsungan dominasi Melayu dan dominasi Islam. Jika mana-mana parti politik berkongsi matlamat yang sama, maka ia akan menjadi kawan (Anwar-Mahathir boleh berdamai).

Perubahan ideologi PAS di bawah kepimpinan TGHH telah membawa kepada pertemuan matlamat politik dengan UMNO. Pada pandangan PAS era-TGHH, apa-apa yang memberikan ancaman kepada Melayu kini turut memberikan ancaman kepada Islam. PAS melihat mudharat yang lebih besar jika Malaysia jatuh ke tangan Cina-DAP. Bagi PAS, ini adalah satu ancaman yang real dan mencemaskan. Kerana itu, PAS dan UMNO menjadi kawan dan tidak lagi jatuh-menjatuhkan di antara satu sama lain untuk menjaga kepentingan Melayu & Islam.

Dengan pembentukan Gagasan Sejahtera sebagai blok ketiga, kedua-dua parti PAS dan UMNO akan berjaya mencapai matlamat mereka iaitu mengekalkan dominasi Melayu & Islam – UMNO sebagai Dominan Melayu dan PAS sebagai Dominan Islam dan sekaligus menolak dominasi kaum Cina dan Bukan-Islam dalam DAP.

Sampai Bila?

Gencatan senjata di antara PAS dan UMNO ini akan berterusan selagi mana kedua-dua parti ini menjunjung matlamat yang sama, selagi PAS merasakan Islam terancam dan selagi TGHH mengemudi bahtera ini. PAS tidak lagi menghentam tetapi menasihat. Tiada lagi kedengaran label-label seperti kafir, sekular dan perompak kepada UMNO. Yang kedengaran adalah label-label seperti boneka, pengkhianat dan seumpamanya.

Imej PAS Yang Baharu - Peluang Mendekati Ahli & Pengundi UMNO

Peluang terbuka dengan wujudnya perkongsian matlamat ini. Iaitu peluang untuk mendekati ahli dan pengundi UMNO yang lebih dekat kepada Islam dan mereka yang kurang bersetuju dengan kepimpinan Najib dalam isu 1MDB, salahguna kedudukan, rasuah dan lain-lain. Bagi PAS, ini adalah target voters yang boleh mengukuhkan kedudukan PAS dalam lanskap politik negara. Kerana itu PAS tidak kesah jika sebilangan kecil ahli PAS meninggalkan parti untuk bersama Amanah.

Kategori kerusi yang diketengahkan dalam strategi pilihanraya PRU Ke-14 PAS adalah berasaskan pola kaum. PAS tidak mengharapkan undi dari kaum Cina tetapi undi dari kaum Melayu-Islam yang mengundi UMNO. Mereka ini memiliki ideologi kebangsaan yang tinggi. Sebab itu, kita dapat lihat PAS kini berceramah menggunakan modal hak istimewa Melayu, Singapura, ancaman Kristiniasasi dan sebagainya. Ini adalah modal yang serupa yang digunakan oleh UMNO.

Oleh kerana itu, tidak menghairankan bilamana nada ceramah PAS sekarang mirip kepada UMNO setelah DAP diisytiharkan secara rasminya sebagai musuh utama PAS. Sementelah itu, PAS kini sudah boleh bertemu bayang dengan UMNO apabila berkongsi musuh dan matlamat yang sama.

Perkara ini hanya boleh berlaku sekiranya PAS mengalami perubahan ideologi yang mirip kepada perjuangan kebangsaan UMNO. Hakikatnya, pendekatan politik PAS tidak lagi semata-mata Islam tetapi Melayu & Islam. PAS sememangnya berterus-terang dalam hal ini. Inilah wajah baharu  PAS pasca kepimpinan Almarhum TGNA.



Melalui agenda GPMS, ahli-ahli PAS yang masih setia dengan parti sedang melalui proses pembersihan fikrah, dan sedikit demi sedikit mereka akan mula menerima idea politik perkauman dan perpaduan Melayu-Islam. Mereka yang tidak boleh menerima ideologi baru PAS ini akan keluar dan digantikan dengan ahli UMNO. Proses pembersihan – penggantian ahli - ini adalah berterusan dan lama-kelamaan, identiti dan personaliti PAS generasi baru akan berubah sepertimana ia pernah melalui perubahan demi perubahan semasa generasi kepimpinan-kepimpinan yang terdahulu.

GPMS Menghalalkan Pembentukan Blok Ketiga

Beberapa penjelasan mengenai konsep ‘Kerajaan Perpaduan yang sebenarnya’ dan ‘Gerakan Politik Matang & Sejahtera’ 12 telah dilontarkan. Hakikatnya, walau apapun konsep Kerajaan Perpaduan yang cuba diketengahkan oleh TGHH, ia masih tidak lari dari semangat dan ruh perpaduan Melayu & Islam dan ini secara rasminya telah diterjemahkan di dalam strategi politik PAS sebagai blok ketiga untuk PRU ke-14. Ia adalah kesinambungan agenda ‘PAS Ganti UMNO’ yang dilaksanakan secara literal dengan menyalin kulit perkauman.

Agenda GPMS yang dicanang-canangkan telah menyumbang kepada penubuhan Gagasan Sejahtera sebagai blok ketiga. Justifikasi yang diberikan terhadap perlunya blok ketiga di Malaysia pada masa kini adalah satu justifikasi yang lemah. Ia bakal membantutkan perkembangan sihat politik negara yang masih melalui era monopoli Barisan Nasional. Malaysia perlu melalui sekurang-kurangnya beberapa kali pertukaran kerajaan pusat demi kematangan sistem demokrasi dan ini tidak boleh berlaku dalam jangkamasa terdekat sekiranya pembangkang tidak bersatu-padu.
Tujuan dwi parti adalah untuk memastikan tiada kuasa yang dominan kerana kuasa dominan bakal membawa kepada salahlaku, korupsi, songlap duit dan salah guna kuasa lain oleh parti yang dominan. Dalam konteks Malaysia, keperluan wujudnya blok pembangkang yang padu bukan bermatlamat untuk menjatuhkan kerajaan semata, tetapi yang lebih penting adalah menyeimbangi blok kerajaan dengan cara semak imbang kuasa.
Ya benar, untuk jangkamasa panjang, adalah tidak mustahil blok ketiga boleh menguasai Kerajaan Pusat (setelah UMNO berjaya dipupuskan) namun perjalanannya masih jauh. Malaysia belum bersedia berbanding negara maju yang lain kerana kerangka politiknya belum melalui sistem dwi-parti untuk pergi lebih lanjut kepada sistem blok ketiga seperti apa yang rakyat Amerika Syarikat mahukan sekarang pasca pilihanraya Trump – Clinton. Itupun setelah berpuluh kali bertukar parti pemerintah.

Gagasan Sejahtera Adalah Untuk Pertahan Kepentingan Melayu-Islam

Hakikatnya, GPMS hanyalah satu terjemahan palsu yang sarat dengan politik perkauman Melayu-Islam. GPMS dijadikan batu asas kepada pembentukan Gagasan Sejahtera di mana natijah kepada pembentukan ini adalah kemenangan Barisan Nasional pada PRU Ke-14 dan pengekalan kuasa dan dominasi Melayu-Islam melalui pemecahan undi pembangkang.

Pemecahan undi pembangkang ini adalah satu fakta yang bakal menjadi kenyataan dalam jangkamasa pendek lanskap politik negara menjelangnya PRU ke-14. Bacaan politik ini adalah wajar melihat kepada timing di mana idea ini diketengahkan. Sejurus PR dibubarkan, UMNO melihat masih ada ruang untuk PAS kembali bersama parti pembangkang yang lain. Bagi membendung kemungkinan ini, idea blok ketiga telah diketengahkan dan IKATAN diutuskan untuk menambat PAS sebelum PRU Ke-14. Tidak hairanlah nama yang diberikan kepada parti ini adalah IKATAN.

Blok ketiga ini telah diumumkan secara rasmi terlebih dahulu beberapa bulan yang sudah. Namun sehingga kini, masih belum kedengaran parti-parti lain yang dikatakan bakal menyertai Gagasan Sejahtera sedangkan PRU-14 semakin hampir. Pemimpin-pemimpin dan akar umbi IKATAN pun seolah-olah hidup di alam lain.

Berdasarkan perkembangan di atas,  Gagasan Sejahtera dilihat tidak akan dapat memberikan impak yang mencukupi untuk memenangi Kerajaan Pusat dalam PRU ke-14. Hakikat ini disedari oleh pimpinan PAS. Namun ia tidak menjadi masalah dan kebimbangan yang besar kerana matlamat politik PAS yang lebih utama dalam jangkamasa pendek ini adalah bagi memastikan kelangsungan kuasa dominasi Melayu-Islam dikekalkan.

Adapun untuk jangkamasa panjang, perjalanan blok ketiga adalah satu perjalanan yang cukup jauh dan penuh ketidakpastian. Perjalanan ini telah sedikit sebanyak terencat apabila Bersatu ditubuhkan.

Politik Cacamerba atau Politik Bijaksana?

Jika kita melihat dari sudut pandang ini, setelah menilai pergerakan politik dan perubahan ideologi PAS di atas, maka segala keputusan dan langkah yang telah diambil oleh TGHH adalah masuk akal dan sebenarnya merupakan politik yang bijaksana, bukan politik yang cacamerba iaitu untuk memastikan kelangsungan kuasa Melayu-Islam melalui kerjasama politik. Umno tidak memasang jerat tetapi menghulurkan tali silaturrahim kepada pemaham UG melalui perpaduan ideologi dua pengaruh Melayu-Islam yang terbesar di dalam negara. Perpaduan inilah yang merupakan ideologi baharu PAS di bawah era kepimpinan TGHH.

Maka, adakah perkembangan ini satu perkara yang baik atau tidak? Itu bergantung kepada ideologi anda.


Abe: Dah boleh peluk ISMA

Tiada ulasan

PENAFIAN: Pemilik blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang diberikan oleh pembaca.

Dikuasakan oleh Blogger.